Kes Morais: Pegawai penyiasat dedah terima amaran

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini beliau pernah menerima kata-kata berbaur amaran daripada tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

P.Sumathi, 31, berkata tertuduh pertama itu, Kolonel Dr R. Kunaseegaran, mengeluarkan kata-kata "berjaga-jaga" ketika beliau menyiasat kesnya (Dr Kunaseegaran) di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor.

Beliau menjelaskan kata-kata itu diucapkan Dr Kunaseegaran ketika beliau menyampaikan waran kepada tertuduh pada 22 Jun 2015 mengenai pertuduhan tambahan ke atasnya dan makluman untuk dia menghadiri perbicaraan kes yang dihadapinya di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan.

"Dia telah menerima saman tersebut dan kemudian memberitahu saya supaya 'berjaga-jaga'," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, dalam perbicaraan hari ke-34 kes pembunuhan Kevin Morais, hari ini.

Sumathi adalah saksi pendakwaan ke-51 yang terlibat menyiasat kes Dr Kunaseegaran di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan itu.

Kepada soalan Saiful Edris adakah doktor itu mengeluarkan kata-kata kesat, Sumathi berkata: "Tidak, (tertuduh) tidak keluar kata-kata kesat tetapi lebih kepada amaran iaitu supaya berjaga-jaga".

Terdahulu Sumathi memberitahu mahkamah bahawa Dr Kunaseegaran sebelum ini telah didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Shah Alam, di bawah tiga seksyen berlainan.

Ketika ditanya adakah Dr Kunaseegaran hadir seorang diri setiap kali sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, saksi itu berkata ada pengikut yang menemani tertuduh namun beliau tidak pasti apakah hubungan mereka.

"Pengikut itu adalah lelaki kedua (tertuduh kedua G.Gunasekaran) yang berada di sebelah Dr Kunaseegaran dan lelaki yang duduk paling hujung sebelah kanan (iaitu tertuduh ketujuh S.Ravi Chandaran)," katanya sambil menunjuk ke arah kandang tertuduh.

Ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Dr Kunaseegaran adakah Sumathi faham bahawa ugutan itu adalah satu kesalahan jenayah, saksi itu berkata beliau tidak mengatakan kata-kata Dr Kunaseegaran itu adalah ugutan sebaliknya ia berbaur amaran.

"Pada pemahaman saya apabila seseorang berkata demikian, (saya) beranggapan kata-kata berkenaan akan mengundang kesusahan dan bahaya kepada saya di mana ia adalah sebagai peringatan," katanya yang turut memberitahu beliau tidak membuat laporan polis berhubung kata-kata itu.

Sumathi turut bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa perkara tidak diingini berlaku kepadanya akibat kata-kata Dr Kunaseegaran itu.

Enam lelaki - Gunasekaran, 48; R.Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M.Vishwanath, 26; S.Nimalan, 23 dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 19 Disember ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA