Jimat Masa, Sistem Perkahwinan 'Online' Tahun Depan


SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) bagi membolehkan maklumat berkaitan pernikahan dan perceraian diakses secara dalam talian.

SPPIM dalam proses percubaan di lima negeri yang mengambil bahagian iaitu Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. Kedutaan Malaysia di Australia dan Songkhla, Thailand, serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga akan mengambil bahagian.

Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha berkata, sistem yang dibina dengan sokongan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain dijangka boleh digunakan sepenuhnya tahun depan.

"Sistem itu dibina bagi membolehkan maklumat nikah dan cerai diurus secara dalam talian serta boleh dikongsi bersama negeri lain yang menyertai sistem itu.

"Sebelum ini, pegawai agama mendapatkan maklumat menggunakan sistem manual yang mengambil masa lama.

"Apabila sistem ini digunakan, proses menjadi lebih cepat dan semakan status perkahwinan serta cerai boleh dibuat dalam talian. Ia juga boleh digunakan di kedutaan untuk pengesahan bujang dan perakuan nikah," katanya selepas melancarkan Kapsul Kesedaran Halal di sini, malam tadi.

Sementara itu, katanya, Kapsul Kesedaran Halal adalah animasi yang membolehkan isu atau maklumat berkaitan halal disampaikan dengan cara lebih menarik kepada masyarakat menerusi iklan dan media sosial.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA