Jabatan Pertanian Sarawak Terima Tambahan RM80 Juta


KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak menerima peruntukan tambahan RM80 juta di bawah inisiatif transformasi sosioekonomi bagi tahun 2017 sekali gus memberi impak signifikan kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk pembangunan infrastruktur ladang, pembinaan kemudahan pasaran dan bantuan kepada pekebun kecil.

“Ia bagi mereka membangunkan projek menjana pendapatan seperti penanaman kelapa sawit, lada, sagu, kelapa, buah-buahan, ladang burung walit dan estet kelapa sawit bersepadu.

“Projek-projek ini akan dilaksanakan di seluruh kawasan luar bandar negeri ini termasuk pesisir pantai dan pedalaman,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan DUN di sini, semalam.

Uggah berkata, selain itu di bawah Pelan Transformasi Sosioekonomi (SETP), pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menjadi salah satu teras dalam usaha mentransformasikan potensi besar di Sarawak terutama tanah NCR yang tidak produktif.

“Dinggarkan terdapat 1.5 juta hektar tanah NCR di Sarawak dan sehingga kini hanya 328,000 hektar telah dibangun dengan tanaman kelapa sawit sama ada oleh pekebun kecil persendirian atau melalui kerjasama dengan pelbaga agensi.

“Ini menyaksikan masih banyak lagi tanah NCR yang belum dibangunkan sepenuhnya iaitu 1.2 juta hektar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, keluasan tanah yang belum dibangunkan itu menyediakan potensi besar kepada pembangunan aktiviti-aktiviti menjana pendapatan seperti tanaman kelapa sawit, getah dan makanan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutama golongan B40.

Uggah berkata bagi membangunkan tanah NCR khasnya melalui konsep usaha sama (Joint Venture- JV), kementerian merasakan ada keperluan untuk menyemak JV supaya penambahbaikan baharu atau alternatif lebih baik dapat diguna pakai khasnya meningkatkan pulangan kepada pemilik tanah.

“Ini kerana salah satu daripada kelemahan utama konsep JV adalah rasa tidak puas hati di kalangan pemilik tanah yang mengambil bahagian kerana pulangan kewangan tidak menentu, tidak konsisten dan rendah.

“Walapun pemilik tanah telah mendapat manfaat melalui pengenalan baharu Skim Bayaran Insentif pada tahun 2015, kementerian merasakan ada keperluan untuk menyemak konsep JV terutama berkaitan pulangan kewangan kepada pemilik tanah,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA