Hujan Lebat Hingga Esok



KUALA LUMPUR: Amaran hujan lebat peringkat merah, jingga dan kuning dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di beberapa negeri di pantai timur serta utara, awal pagi ini dengan keadaan itu dijangka berterusan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataannya, berkata kawasan yang terbabit dengan amaran hujan lebat peringkat merah adalah di jajahan Tanah Merah; Machang; Pasir Puteh; Bachok; Kota Bharu; Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan, manakala di Terengganu pula, kawasan yang terbabit adalah di Daerah; Setiu; Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Amaran hujan lebat peringkat jingga membabitkan Daerah Rompin; Pekan; Maran; Kuantan dan Jerantut di Pahang, Daerah Hulu Terengganu; Marang; Dungun dan Kemaman di Terengganu dan Kelantan di jajahan Kuala Krai dan Jeli.

"Jajahan Gua Musang dan Lojing di Kelantan; Perlis; Kedah; Pulau Pinang dan Perak Utara pula menerima amaran hujan lebat peringkat kuning," katanya.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, dijangka berlaku selama dua hari di kawasan perairan Phuket; Perlis; Kedah dan Pulau Pinang bermula esok.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

Selain itu, amaran ribut petir turut dikeluarkan di perairan Phuket, Samui, Condore, Bunguran, Reef South, Reef North dan Palawan serta perairan Pahang; Kelantan; Terengganu; Kudat di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan keadaan itu berterusan hingga lewat pagi ini.

Situasi itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, berbahaya kepada bot-bot kecil.- Berita Harian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA