Fasa Kedua

KUCHING: Fasa kedua penurunan kuasa dari kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata fasa kedua penurunan kuasa itu akan melibatkan perkara-perkara utama iaitu berkaitan kewangan, penerokaan dan perlombongan minyak dan gas serta tanah dan perolehan dari tanah.

“Isu-isu ini kini pada peringkat rundingan akhir melibatkan Jawatankuasa Teknikal Negeri dan pegawai-pegawai persekutuan, untuk melihat lebih mendalam isu-isu utama ini.

“Rundingan masih berlangsung dengan pihak-pihak berkaitan. Memandangkan rundingan belum muktamad, butiran-butiran mesyuarat tidak boleh diumumkan (sekarang). Bagaimanapun saya mahu memaklumkan Dewan, Jawatankuasa Teknikal ini akan bermesyuarat esok (hari ini) 1 Disember,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Tambahnya, perkara yang tidak tersenarai dalam senarai utama hanya akan diurus selepas perkara utama diselesaikan.

Dalam ucapan penggulungannya, Adenan turut memberitahu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia akhirnya mengambil langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Dalam hal ini, saya dimaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi mengikut langkah diambil Sarawak akan mengiktiraf UEC dengan dua syarat iaitu mengajar Bahasa Melayu di peringkat SPM dan Sejarah Malaysia bukannya sejarah negara lain dalam kurikulum mereka.

“Jadi, perkara ini telah dipertimbang, tetapi Sarawak terlebih dahulu mengiktiraf UEC, oleh itu kita berharap kerajaan persekutuan akan melakukan perkara sama,” ujarnya.

Adenan turut menyentuh mengenai 13 peruntukan pemerkasaan pentadbiran kepada kerajaan negeri , persetujuan yang dicapai semasa rundingan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Januari 2016.

Antaranya, pegawai perundangan Sarawak diberi kuasa oleh pendakwa raya di bawah Kanun Prosedur Jenayah untuk melakukan pendakwaan bagi kesalahan di bawah Ordinan Negeri bermula dari peringkat orang didakwa di mahkamah rendah hingga peringkat rayuan.

Tambahnya, pada 1 Mac 2016 beberapa pegawai Pejabat Ketua Peguam Negeri dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan sejak itu sejumlah 16 kes berkaitan hutan telah diluluskan untuk pendakwaan.

Manakala, 10 kes telah didakwa, empat berjaya didakwa, enam lagi masih menunggu dibicarakan dan enam kes lagi menunggu pendakwaan difailkan di mahkamah.

“Berikutan kejayaan pendakwaan ini, sejumlah RM77,719.60 dalam bentuk pampasan diarah oleh mahkamah untuk dibayar kepada kerajaan negeri. Jumlah ini melebihi denda yang dikenakan oleh mahkamah,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, katanya, nisbah guru kelahiran Sarawak mengajar di negeri ini akan ditambah kepada 90 peratus menjelang 2018 dan setakat ini, daripada seramai 42,235 guru mengajar di negeri ini, 37,921 adalah dari Sarawak.

Selain itu, katanya, Sarawak kini dalam usaha memastikan kuasa mengenakan bayaran duti setem ke atas dokumen-dokumen seperti termaktub dalam Kanun Tanah bagi pindah milik, gadaian dan pajakan dikembalikan kepada Sarawak. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA