Dadah: Pemuda Mengaku Tidak Bersalah Dibebas Dengan Ikat Jamin

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua tuduhan memiliki dan satu tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Majistret.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan tunai RM4,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Nyau Mui Jee, 49, dari Jalan Rock, Kuching telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama serta satu tuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Seksyen 12 (3) memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 15 boleh membawa denda RM5,000 atau penjara dua tahun serta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Berdasarkan tuduhan pertama dan kedua, tertuduh ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine masing-masing seberat 0.19 gram dan 0.98 gram.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 3.44 pagi, 12 Mac 2012 di sebuah bilik tidak bernombor di sebuah hotel bajet di Jalan Bendahara di sini.

Manakala dalam tuduhan ketiga, tertuduh telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 5 pagi, 12 Mac 2012 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA