Bilangan Pelajar Pantai Damai Masuk IPT Terus Meningkat


KUCHING: Laungan '1 Keluarga 1 Graduan' yang diilhamkan sejak 20 tahun terus menampakkan hasil yang positif dengan peningkatan bilangan pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia boleh dibuktikan dengan peningkatan bilangan pelajar memohon sumbangan memasuki IPT setiap tahun.

"Bilangan pelajar dari DUN Pantai Damai memasuki IPT setiap tahun semakin bertambah. Ia berlandaskan peningkatan permohonan sumbangan yang diterima setiap tahun untuk memasuki IPT," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT, Kebajikan dan Persatuan Bagi Kawasan DUN N.4 Pantai Damai sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) berharap pada masa akan datang lebih ramai pelajar dari kawasan DUN Pantai Damai melanjutkan pelajar ke peringkat tertinggi.

"Kalau boleh lanjutkan pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana atau ijazah kedoktoran," ujarnya.

Pada majlis tersebut, seramai enam pelajar yang melanjutkan pelajaran ke IPT dan 21 persatuan menerima sumbangan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA