Bangunan Tiba-Tiba Bergegar, Bergoyang Sebelum Runtuh - Saksi



KUALA LUMPUR: Saksi runtuhan sebuah bangunan dan jejambat dalam pembinaan berhampiran Apartmen Abdullah Hukum di Jalan Bangsar petang semalam, memberitahu kawasan tapak pembinaan itu secara tiba-tiba bergegar dan bergoyang sebelum struktur itu runtuh.

Seorang pekerja warga Vietnam dikenali sebagai Atang, 39, berkata keadaan itu menyebabkan pekerja bertempiaran lari menyelamatkan diri, termasuk beliau.

Katanya ketika kejadian beliau dan beberapa rakan sekerja sedang membuat pemasangan cermin di bangunan itu.

"Ia berlaku terlalu pantas dan memang menakutkan. Saya rasa bangunan ini bergoyang dan laluan pejalan kaki itu secara tiba-tiba terbalik dan satu persatu konkrit jatuh.

"Memang bunyi agak kuat, dan kami semua terkejut dan melarikan diri ke tempat selamat. Nasib baik ketika kejadian ramai pekerja tiada kerana mereka sedang berehat," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Atang berkata sejurus selepas kejadian, beliau nampak beberapa rakannya keluar dari timbunan runtuhan dan ada di antaranya cedera.

Sementara itu, seorang pekerja warga Bangladesh yang dikenali sebagai Abdullah berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi dentuman yang agak kuat.

"Saya dan beberapa rakan lain pergi ke arah bunyi itu dan melihat rakan-rakan keluar dari runtuhan.

"Keadaan memang kelam kabut dan saya bernasib baik tidak berada di kawasan pembinaan itu kerana sedang berehat," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata seorang pekerja kontrak warga Vietnam berumur 21 tahun maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu.

Sharul berkata mangsa yang cedera, terdiri daripada pekerja kontrak warga Bangladesh dan Vietnam, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang mengesan seorang lagi mangsa warga Bangladesh yang dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan itu.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA