Ahok Bakal Dibicara Kerana Hina Islam



JAKARTA: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama bakal didakwa di mahkamah atas tuduhan menghina agama, kata Pejabat Peguam Negara Indonesia semalam.

Timbalan Peguam Negara untuk jenayah, Noor Rachmad berkata, pihaknya meneliti kertas siasatan oleh polis dan memutuskan ada kes yang perlu Basuki atau dikenali sebagai Ahok jawab di mahkamah.

“Siasatan polis mendapati ahli politik itu melanggar perkara 156 dan 156 (a) kanun jenayah yang meliputi kesalahan menghina agama,” katanya seperti dipetik akhbar The Straits Times.

Noor Rachmad tidak memberitahu bila Ahok didakwa di mahkamah tetapi memberitahu pihaknya akan menyediakan dan melengkapkan kertas pertuduhan kes itu secepat mungkin.

Sekiranya didapati bersalah, Ahok berdepan hukuman penjara hingga lima tahun.

Difahamkan, Pejabat Peguam Negara perlu memfailkan pertuduhan terhadap Ahok di mahkamah daerah sebelum ketua hakim melantik panel tiga hakim untuk mendengar kes itu.

Proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum kes berkenaan didengar di mahkamah.

Ahok yang kini berkempen untuk mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya daerah pada Februari depan berikrar untuk tidak menarik diri.

Dia mencetuskan kontroversi selepas memberitahu pengundi supaya tidak tertipu dengan lawannya yang memetik ayat al-Quran supaya tidak mengundinya kerana bukan beragama Islam.

Ahok adalah gabenor Jakarta kedua beragama Kristian dan yang pertama dari etnik Cina di negara itu.

Ucapan itu mencetuskan bantahan daripada kumpulan Islam yang merancang mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran esok.- Harian Metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA