Zika Bukan Lagi Kecemasan Antarabangsa - WHO



GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak virus Zika yang dikaitkan dengan kecacatan kepala dan otak bayi, bukan lagi kecemasan kesihatan awam dunia biarpun memberi amaran usaha menangani wabak itu masih cabaran hebat.

Brazil, pusat penularan wabak itu, bagaimanapun enggan menurunkan tahap risiko dan pakar terus membidas keputusan badan kesihatan dunia itu.

"Virus Zika masih menjadi masalah jangka panjang yang amat ketara, tetapi ia tidak lagi kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan pada peringkat antarabangsa," kata pengerusi jawatankuasa kecemasan badan kesihatan dunia itu, Dr David Heymann. 

Walaupun Zika hanya menyebabkan gejala ringan dalam kebanyakan orang, wanita hamil yang dijangkiti virus itu berisiko melahirkan bayi dengan mikrosefali, kecacatan yang menyebabkan otak dan kepala mengecil. 

Ia juga boleh menyebabkan masalah awal saraf yang jarang berlaku pada orang dewasa seperti Sindrom Guillain-Barre (GBS) yang boleh mengakibatkan lumpuh dan kematian.

Menurut WHO, sejak wabak ini mula menular pada pertengahan 2015, lebih 1.5 juta orang dijangkiti Zika, terutamanya di Brazil, dan lebih 1,600 bayi dilahirkan dengan mikrosefali sejak tahun lalu. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA