Wong Kecewa Bekalan Elektrik Kerap Terputus


SIBU, 27 Nov (Bernama) -- Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh melahirkan rasa kecewa dengan kejadian bekalan elektrik terputus yang mengakibatkan bandar-bandar antara Sibu dan Kuching terpaksa bergelap selama beberapa jam malam tadi.

Beliau berkata, kejadian tersebut sepatutnya tidak berlaku memandangkan negeri ini memiliki sumber tenaga hidro elektrik yang banyak dan ia memberi gambaran tidak baik kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke negeri ini.

"Agak mengecewakan kerana sudah beberapa kali kejadian bekalan elektrik terputus berlaku. Boleh dikatakan dari semasa ke semasa tetapi ini perlu juga kita hadapi.

"Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak kejadian seumpama ini terus berulang pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas penyampaian anugerah Belia Cemerlang Malaysia Junior Chamber International (JCI) Malaysia di sini di sini, Sabtu malam.

Seramai 30 belia dari seluruh negara yang mencapai kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing dicalonkan untuk menerima anugerah 'Ten Outstanding Young Malaysians Award (TOYM) 2016 di majlis itu.

Bekalan elektrik terputus apabila litar berkembar 275 Kv Oya-Selangau terpelantik sejak 6.38 petang dan mula pulih kira-kira 7.19 malam di Sibu dan secara berperingkat di kawasan-kawasan lain selepas itu.

Bagaimanapun, ia terputus lagi kira-kira 3.30 pagi tadi di bandar ini dan pulih selepas dua jam kemudian.  -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA