Warga Islam Britain Bimbang Kesan Pemilihan Trump


LONDON: Penduduk Islam Britain meluahkan kebimbangan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) akan membawa kepada tindak balas keras terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Majlis Islam Britain (MCB) berkata, Trump perlu memastikan kemenangannya tidak membuka jalan kepada ketaksuban.

"Rakyat Amerika Syarikat sudah menunjukkan dengan jelas dan saya mengucapkan tahniah kepada Trump.

"Bagaimanapun, wujud kebimbangan mengenai pemilihannya. Memang membimbangkan apabila seseorang yang secara terbuka mendiskriminasi umat Islam dan minoriti lain menjadi ketua negara besar," kata Setiausaha Agung MCB, Harun Khan.

Katanya, beliau berharap kenyataan bombastik dan retorik daripada Trump sejak beberapa bulan lalu membuka jalan kepada pendekatan lebih aman.

"Presiden mesti menunjukkan pemilihan beliau bukan menjadi lampu hijau kepada ketaksuban bagi seluruh dunia," katanya.

Ketika berkempen, Trump menggesa penutupan seluruhnya sempadan Amerika kepada umat Islam pada Disember lalu berikutan serangan ganas di San Bernardino.

Sementara itu, pasukan kempen Trump sudah pun membuang kenyataan melarang semua umat Islam memasuki Amerika daripada laman webnya. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA