Warga Emas Cedera Ditikam Di Kuching


KUCHING: Seorang lelaki warga emas dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini, selepas dia ditikam di bahagian belakang badannya dipercayai berpunca daripada perselisihan faham semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku di Kenyalang Park di sini sekitar jam 12.30 tengah hari apabila mangsa yang berusia 60-an didatangi seorang lelaki yang dikenalinya untuk berbincang mengenai bayaran sewa kedai.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham sebelum suspek bertindak menikam mangsa dipercayai menggunakan pisau sehingga menyebabkan dia rebah.

“Insiden dipercayai berpunca apabila suspek yang ‘naik gila’ selepas mangsa enggan membayar sewa kedai disebabkan dia (mangsa) tidak lagi berniaga di kedai milik suspek berkenaan selepas ia terbakar beberapa bulan lepas.

“Suspek yang tidak berfikir panjang dikatakan bertindak menikam belakang mangsa dan mujur kejadian tersebut disedari oleh anak mangsa yang kemudian menghalang suspek daripada bertindak lebih kejam,” kata sumber.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Simpang Tiga dan sehingga berita ditulis dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat.

Sementara laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh anak mangsa di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Difahamkan juga, suspek berusia 48 tahun dan juga berasal dari Kenyalang Park telah ditahan untuk siasatan lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA