Waran Geledah, 2 Disember Keputusan Semakan Kehakiman Dikemuka Dr Ting



MIRI: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Disember depan untuk mendengar keputusan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon berhubung tiga waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 13 September lalu.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Dr Alwi Abdul Wahab setelah mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak peguambela Alan Ling Sie Kiong yang mewakili Dr Ting dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Fadzila Ishak.

Terdahulu, pada 20 September tahun ini, Dr Ting telah memfailkan permohonan semakan di bawah Bab XXX1 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonannya, Dr Ting memohon agar Mahkamah Tinggi melakukan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang telah mengeluarkan tiga waran geledah kepada pihak polis pada 13 September lalu.

Tiga waran itu dikeluarkan bagi membolehkan polis melakukan penggeledahan di tiga lokasi berasingan milik beliau iaitu klinik, ibu pejabat DAP dan rumahnya untuk mencari sebarang dokumen yang berkaitan dengan status kewarganegaraannya.

Justeru menurut Alan, semakan ini perlu dilakukan untuk menentukan sama ada tindakan Mahkamah Majistret mengeluarkan waran geledah tersebut betul atau sebaliknya kerana ia dilihat mengancam prinsip privasi dan hak ke atas harta benda seseorang individu seperti dijamin di bawah perlembagaan negara.

Pada 13 September lalu, ASP Soliment Nyian telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tiga waran geledah bagi membolehkan polis menggeledah klinik, ibu pejabat DAP dan rumah Dr Ting untuk mencari sebarang dokumen yang ada kaitan dengan kewarganegaraannya.

Permohonan itu telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret pada petang hari yang sama. Sekitar jam 11 pagi, 14 September, tiga pasukan polis telah melakukan penggeledahan di tiga lokasi tersebut.

Menurut Alan, anak guamnya tidak dapat menghalang kerana polis datang dengan membawa bersama waran geledah, justeru beliau terpaksa akur bimbang dituduh menghina mahkamah.

Ini berikutan siasatan lanjut yang dilakukan pihak polis terhadap Dr Ting mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan kerana didakwa memberi pengakuan palsu berhubung status kewarganegaraannya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA