Wanita `Mata Hijau’ Dihantar Pulang Ke Afghanistan


Wanita `bermata hijau’ yang pernah menghiasi muka depan majalah National Geographic pada 1985, akhirnya dihantar pulang dari Pakistan ke Afghanistan selepas dia didapati memalsukan kad pengenalan.

Sebaik sahaja Sharbat Gulla tiba di negaranya, dia bersama empat anaknya telah disambut oleh Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani.

Satu majlis turut diadakan di kediaman Ashraf bagi menyambut kepulangan Sharbat.

Wanita itu juga dihadiahkan sebuah pangsapuri yang lengkap dengan perabot.

“Ketika kanak-kanak, Sharbat berjaya menarik perhatian berjuta-juta orang disebabkan dia adalah simbol kepada peperangan. Adalah menjadi satu keistimewaan bagi saya untuk menyambutnya.

“Kami berbangga untuk melihat dia hidup dengan bermaruah dan selamat di tanah airnya,” kata Ashraf.

Sharbat sebelum ini disabitkan dengan kesalahan memalsukan kad pengenalan di Pakistan dan didakwa menetap di negara berkenaan secara haram.

Tindakan kerajaan Pakistan yang menghantar Sharbat pulang telah dikritik masyarakat antarabangsa kerana mengenakan hukuman berat ke atasnya.

Dia mendapat perhatian dunia sebagai gadis pelarian Afghan pada 1985 selepas gambarnya dirakamkan oleh jurugambar perang, Steve McCurry dan gambar itu kemudiannya dijadikan muka depan National Geographic.

McCurry bertemu lagi dengan Sharbat pada 2002.

Pada 2014, dia telah menyembunyikan diri selepas dituduh menggunakan dokumen palsu Pakistan. Sharbat ditangkap pada Oktober lalu. – mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA