Wanita Ditumbuk, Ditendang Lelaki Bersenjata Tajam


VIRAL menerusi media sosial China apabila rakaman video memaparkan lelaki bersenjata tajam memukul dan menendang seorang wanita di sebatang jalan tersebar di negara itu.

Menurut portal tempatan negara tersebut, kejadian berkenaan berlaku di Shenzhen kira-kira pukul 10 pagi pada 17 September lalu.

Difahamkan mangsa pada ketika kejadian keluar untuk membeli barang di sebuah kedai runcit tiba-tiba diserang seorang lelaki bersenjata tajam.

Insiden serangan ke atas mangsa berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan berkenaan dan telah disiarkan oleh stesen tempatan China Central Television News.

Suspek lelaki dilihat menumbuk dan menendang serta mengacukan senjata tajam itu ke arah mangsa hingga tersungkur atas jalan raya.

Mangsa dilihat cuba untuk bangun dan melarikan diri dari terus diserang namun suspek enggan melepaskannya.

Seorang saksi kejadian, Lu Jinyue memberitahu pemberita pada mulanya dia menyangka sepasang kekasih sedang bertengkar.

Namun sangkaannya meleset apabila melihat seorang lelaki memegang senjata manakala mangsa wanita berlumuran darah merayu untuk diselamatkan.

Jinyue dengan pantas mengambil sebatang buluh lalu memukul tangan suspek bagi menjatuhkan senjata tajam yang dipegang.

Namun suspek bertindak mengejar Jinyue sehinggalah sebuah kereta bertindak melanggar suspek hingga terjatuh dan beberapa orang awam bertindak memukul suspek hingga berlumuran darah.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek telah dikerumuni orang awam dan mangsa terbaring di kaki lima. Kedua-duanya dikejarkan ke sebuah hospital.

Bagaimanapun, suspek lelaki masih lagi dalam tahanan pihak polis manakala mangsa wanita dibenarkan berehat di rumahnya lapor stesen CCTV News. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA