Wang Simpanan KWSP Menjadi Penyelamat Ketika Musibah


KUALA TERENGGANU: Wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi ‘penyelamat’ kepada pencarum di saat ditimpa musibah.

Keadaan tersebut berlaku kepada Afandi Mahadi, 49, yang tidak mempunyai apa-apa insurans dan tabungan kewangan ketika diuji dengan serangan strok dan masalah kewangan.

“Ketika itu, saya rasa dunia saya dah gelap… sebab masa tu saya tak mampu nak bekerja kerana serangan strok dan saya juga berdepan masalah kewangan, tetapi KWSPlah jadi penyelamat saya untuk bayar bil hospital dan hutang peribadi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Afandi yang merupakan bekas jurukamera agensi berita berkata, meskipun caruman bulanan yang dibuatnya tidak tinggi, tetapi ia sangat berguna di saat kesempitan.

“Masa tu, saya tak tahu nak buat apa bila tak bekerja, bil hospital kena bayar dan bank pun asyik telefon suruh bayar kereta dan motosikal… kawan sayalah yang beritahu wang KWSP boleh dikeluarkan atas faktor kesihatan.

“Dan lepas dapat duit tersebut, saya selesaikan semua bil hospital. Sebenarnya, kalau ikutkan usia saya yang tak sampai 55 tahun lagi, saya tidak layak untuk mengeluarkan semua simpanan KWSP.

“Bagaimanapun, saya dibenarkan keluar semua simpanan itu kerana tergolong dalam kategori tidak berupaya dari segi fizikal untuk bekerja, dan wang itu jugalah saya gunakan untuk sara hidup selepas tidak lagi bekerja,” katanya.

Afandi berkata untuk mengeluarkan simpanan KWSP, pencarum perlu melalui proses temu duga untuk menentukan kelayakan mengeluarkan simpanan.

“Proses untuk mengeluarkan wang juga tidak rumit. Mula-mula saya hanya perlu ke kaunter untuk membuat permohonan, seminggu kemudian saya dipanggil untuk temu duga.

“Dan yang paling saya tak sangka, dua hari selepas temu duga, saya mendapat mesej daripada pihak KWSP yang mengatakan permohonan saya telah diluluskan dan duit simpanan KWSP telah masuk ke akaun saya.

“Masa tu, memang saya rasa sangat lega dan tak lagi perlu fikir macam mana nak cari duit untuk selesaikan bil perubatan saya,” katanya yang dapat mengeluarkan lebih RM50,000 simpanannya.

Afandi turut memuji kecekapan pekerja KWSP dalam menjalankan tugas dan membantu pesakit sepertinya untuk membuat permohonan dan menguruskan dokumen.

“Saya sangat berpuas hati dengan tahap layanan pekerja KWSP yang sangat profesional membantu saya di saat saya memerlukan perkhidmatan mereka.

“Pekerja KWSP banyak membantu menguruskan dokumen permohonan dan mereka banyak memberi nasihat supaya saya dapat menguruskan kewangan sebaik mungkin.

“Masa hari nak pergi temu duga, KWSP yang mesej saya untuk ingatkan saya menghadiri temu duga… memang layanan dan tahap kecekapan mereka harus dipuji, saya sangat berpuas hati,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA