Wan Maimunah Derita Bengkak Jantung, Jangkitan Kuman

Wan Maimunah Derita Bengkak Jantung, Jangkitan Kuman
PELAKON veteran yang terkenal dengan watak air mata, Wan Maimunah kini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Jasin, Melaka selepas mengalami bengkak jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Memetik mStar, seniwati itu melahirkan perasaan terharunya dengan kunjungan beberapa wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang datang melawatnya, baru-baru ini.

Kunjungan Seniman diwakili Timbalan Presidennya, Zulkifli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Zack Kool dan pelakon Zuraini Kassim.

Zack berkata kunjungan itu diadakan untuk bertanya khabar selain memberikan sedikit bantuan buat seniwati berusia 63 tahun itu.

Selain itu, Zack juga menyampaikan perasaan terkilan Wan Maimunah berikutan kurang mendapat tawaran berlakon sehingga merasakan dirinya terpinggir daripada menjadi perhatian mana-mana produser.

“Dalam pertemuan itu Kak Wan turut meluahkan perasaan sedih apabila dia tidak lagi mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini dan berasa seolah-olah dipinggirkan,” kata Zack.

Menurut Zack lagi, pihak Seniman akan sentiasa memantau keadaan kesihatan seniwati itu dan memberi bantuan sewajarnya jika keadaan memerlukan.

Wan Maimunah atau nama sebenarnya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sebelum ini pernah gagal dalam beberapa perkahwinannya termasuklah dengan usahawan peniaga kacang pool dari Johor, Makpol Saimon.

Mereka berkahwin pada Disember 2013 namun bercerai pada April tahun lalu tanpa berkongsi sebabnya. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA