Wajah Yuna Hiasi Skrin Gergasi Di Times Square New York



Penyanyi, Yunalis Zarai, 30, boleh berbangga apabila dipilih menghiasi papan iklan elektronik di Times Square, New York, bermula semalam.

Wajahnya terpampang di skrin gergasi di lokasi yang menjadi tumpuan ramai itu apabila diangkat sebagai artis pilihan bulanan Pasaran Saham Nasdaq.

"Sebelum ini, wajah kumpulan The Chainsmokers menjadi wajah pilihan untuk papan iklan berkenaan.

Saya pula diundang untuk sesi fotografi oleh Nasdaq baru-baru ini dan hanya gambar yang dipaparkan di skrin terbabit, bukan video.

"Apapun, saya bersyukur kerana bakat saya diterima baik di sana walaupun baharu lima tahun mencuba nasib di negara itu," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung Yuna For LosraVelda di sini, petang ini.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush, dendangannya bersama bintang tersohor, Usher, selepas album ketiganya diterbitkan, beliau berasakan rezekinya semakin bertambah di arena muzik.

Selain Chapters yang dipasarkan tahun ini, penyanyi dengan imej turban itu juga menghasilkan album berjudul Yuna (2012) dan Nocturnal (2013) bagi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, penyanyi dan komposer berasal dari Kedah ini tidak risau atau gusar dengan sentimen perkauman yang dibangkitkan selepas kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat, baru-baru ini.

"Pada mulanya saya agak takut juga ketika musim pilihan raya berlangsung, tetapi saya buat seperti biasa saja. Malah, saya pernah dicubit ketika berjalan-jalan di New York.

Mungkin ia tindakan orang kurang siuman walaupun dia juga ada bercakap pasal perkauman.

"Alhamdulillah, hingga kini tiada perkara serius yang berlaku seperti apa yang dilaporkan di media sosial.

Saya masih boleh bebas berjalan seperti biasa, cuma, ketika persembahan jelajah Eropah, kawalan keselamatan diperketatkan," katanya yang tidak berhasrat mengambil pengawal peribadi. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA