Video: Pasangan Kekasih Nyaris Jadi ‘Lauk’ Sang Bedal


ZIMBABWE – Satu rakaman video menunjukkan sepasang kekasih hampir dibaham oleh seekor buaya ketika sedang berada di dalam kolam renang di sebuah hotel baru-baru ini menjadi viral di laman sosial.

Laman Russia Today (RT) melaporkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah hotel di Kariba itu dimuat naik ke laman Youtube oleh pengguna Zimbo88 dan kini sudah ditonton lebih dari tiga juta kali.

Menerusi rakaman, reptilia itu dilihat pada mulanya merangkak secara senyap menuju ke sudut hujung kolam renang sebelum dengan pantas melompat masuk ke dalam air.

Terkejut dengan aksi buaya berkenaan, lelaki yang berada di dalam kolam itu serta-merta melompat keluar, meninggalkan teman wanitanya berseorangan bersama buaya ‘lapar’ itu.

Buaya berkenaan bertukar arah dan cuba mengejar teman wanitanya yang sedang bergelut untuk melarikan diri ke hujung kolam.

Buaya Nil itu dikatakan sempat menggigit lengan wanita tersebut, sebelum dia sempat keluar daripada kolam renang.

Netizen rata-ratanya mempersoalkan tindakan lelaki tersebut yang pada mulanya meninggalkan teman wanitanya itu keseorangan dengan buaya itu.

Namun, tidak seharusnya menyalahkan lelaki berkenaan kerana situasi yang dihadapinya adalah suatu perkara yang sangat mencemaskan dan menakutkan buat sesiapa sahaja.

Namun, lelaki berkenaan dilihat kembali ke kolam untuk menyelamatkan teman wanitanya malah dia turut cuba mengusir haiwan ganas berkenaan.

Zimbabwe pada Februari lalu mengisytiharkan darurat kerana berhadapan keadaan kemarau yang dahsyat.

Cuaca panas melampau itu juga merupakan punca kepada sesetengah haiwan khususnya reptilia di tasik keluar dari habitat semula jadi mereka dan mencari sumber air lain seperti kolam renang dijadikan ‘tempat berlindung’ baru. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA