Video: Ngeri! Maut Digilis Keretapi Selepas Hantar Isteri


GARA-GARA turun daripada keretapi yang sedang bergerak, seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh di stesen keretapi Hatyai, selatan Thailand, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan itu, mangsa yang dikenali sebagai Klin Thonghorm, 62, dipercayai baru menghantar isterinya menaiki keretapi tersebut.

Difahamkan, mangsa turun daripada gerabak keretapi yang sedang bergerak selepas memastikan isterinya mendapat tempat duduk di dalam gerabak percuma yang dikhaskan untuk penumpang berpendapatan rendah.

Mangsa dikatakan melompat turun sebelum tangannya tersepit pada pintu dan menyebabkannya terjatuh di landasan sehingga digilis beberapa kali.

Situasi yang menyayat hati itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di stesen berkenaan dan menjadi viral di laman sosial.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan Klin dalam keadaan tidak bermaya ketika keretapi tersebut diberhentikan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

Difahamkan, kereta api tersebut dalam perjalanan dari Sungai Golok ke Bangkok. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA