Usul Pembangkang Ditolak DUN Atas Pelbagai Sebab


KUCHING: Kesemua lapan usul daripada pihak pembangkang telah ditolak Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa persidangan semalam atas pelbagai sebab.

Daripada lapan usul berkenaan dua adalah daripada wakil rakyat PKR iaitu Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian serta Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How.

Sementara lima lagi usul yang turut ditolak daripada wakil rakyat DAP, iaitu Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Dr Ting Tiong Choon (DAP-Pujut), David Wong (DAP-Pelawan) dan dua usul daripada Irene Chang (DAP-Bukit Assek).

Antara lain yang ditolak Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar adalah dua usul daripada Irene Chang (DAP-Bukit Assek) atas sebab tertentu yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Irene dalam usul pertamanya memohon setiap wakil rakyat terpilih harus menerima peruntukan dana sama rata tanpa mengira latar belakang politik.

“Bagi sebarang usul berkaitan memohon peruntukan dana yang melibatkan geran, caj atau perbelanjaan awam tidak boleh diteruskan kecuali mendapat syor kerajaan secara bertulis daripada menteri bertanggungjawab dalam kewangan.

“Usul ini (daripada Irene) tidak mematuhi Perintah Tetap 23 (5) kerana ia berkaitan secara langsung atau tidak langsung mencari permohonan dan dianggap mencari geran melainkan jika menteri bertanggungjawab bagi kewangan menyatakan secara bertulis,” katanya pada Persidangan DUN semalam.

Asfia menegaskan, malahan usul berkenaan tidak harus diteruskan juga kerana ia terlalu panjang iaitu 320 perkataan yang melangkaui had 250 perkataan sepatutnya, iaitu melanggar Perintah Tetap 23 (4) (a) dan Perintah Tetap 23 (5), maka itu ia ditolak.

Usul kedua Bukit Assek pula, beliau menyeru agar balai polis di negeri ini terus beroperasi sehingga malam demi keselamatan rakyat, termasuk Balai Polis Jalan Lanang yang telah diarahkan ditutup pada waktu malam.

Arahan berkenaan dinyatakan Timbalan Perdana Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur yang turut mengarahkan semua balai polis seluruh negara ditutup pada waktu malam.

Asfia semasa menolak usul berkenaan menyifatkan ia sebagai ‘salah faham’ dan Irene seharusnya perlu menasihati rakan sekerja beliau, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau agar membawa isu berkenaan di Parlimen.

“Memandangkan Timbalan Perdana Menteri telah membuat respons semasa persidangan Parlimen bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Lanang, mengenai Balai Polis Lanang, adalah wajar dan lebih baik Ahli Parlimen Lanang membuat susulan selain meminta penjelasan daripada dibangkitkan di dewan ini,” tegasnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA