Usul Di DUN Bukan Konfrontasi Terhadap PM

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak tidak seharusnya menganggap perbentangan usul untuk menuntut pemulangan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu bentuk konfrontasi.

Jurucakap Kumpulan Sarawak 4 Sarawakian (S4S) Peter John Jaban berkata, sebaliknya usul tersebut adalah untuk mengembalikan hak Sarawak dan merupakan satu deklarasi terhadap hasrat rakyat negeri ini.

Menurutnya, jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ikhlas dalam mempertimbangkan perkara tersebut, seharusnya resolusi di DUN akan menjadi sokongan kepadanya.

“Jika Perdana Menteri ikhlas dalam keinginannya untuk ‘melakukan perkara yang betul’, maka usul dalam DUN kita hanya akan bertindak sebagai sokongan kepadanya dan bukannya melemahkannya," katanya

Peter John berkata demikian pada sidang media semalam bagi melahirkan kekecewaan pihaknya terhadap keputusan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mengumumkan DUN yang akan bersidang dari 21 hingga 30 November ini tidak akan meluluskan resolusi menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, jika usul itu dibentangkan, maka wakil-wakil rakyat Sarawak, bukan hanya pada waktu ini, malah pada masa depan akan terikat untuk mengikutinya. Melainkan mereka mahu membunuh karier politik mereka sendiri dan memansuhkannya.

“Justeru Adenan harus mengotakan janjinya kerana rakyat sudah memberi mandat kepada beliau,” tegasnya

Adenan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Mesyuarat Prapersidangan DUN pada Rabu berkata, pihaknya percaya kepada Perdana Menteri untuk melakukan perkara yang betul, atas alasan itu maka tidak perlu untuk meluluskan resolusi tersebut di Dewan.

“Kita percaya kepada rundingan bukan konfrontasi. Hasilnya, kita akan mencapai beberapa keputusan,” katanya

Berikutan itu, pelbagai pihak tampil membidas keputusan tersebut sebagai mengkhianati kepercayaan rakyat.

Pada 23 Oktober lepas, di Bintulu, Adenan memberitahu media bahawa kerajaan negeri akan membentangkan usul berhubung tuntutan semula hak Sarawak pada persidangan DUN kali ini. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA