Usaha Tubuh Pusat Pengajian Al-Quran Disokong

KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyokong usaha Persatuan Guru al-Quran Bahagian Kuching (PGQBK) untuk menubuhkan pusat pengajian al-Quran di sini.

Menurutnya, beliau akan membawa permintaan PGQBK kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mendapatkan sebidang tanah di sini bagi menubuhkan pusat tersebut.

“Apa yang telah dikatakan PGQBK tadi insha-Allah saya akan berbincang bagaimana kita mencari jalan untuk kita dapatkan tapak tanah dan membawa perkara ini kepada Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Tahsin Al-Quran anjuran PGQBK di sebuah hotel di sini semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, apabila adanya tapak itu nanti beliau mahu melihat PGQBK mewujudkan pusat pengajian al-Quran yang menjadi institut pendidikan al-Quran di Kuching.

“Apabila ia berjaya kelak insya-Allah ia akan dikembangkan menjadi satu institut di seluruh negeri Sarawak,” tambahnya.

Malah, beliau juga mahu pusat itu menjadi tempat masyarakat Islam mengkaji al-Quran untuk mendalami dan memahami al-Quran dengan lebih baik lagi.

“Dengan adanya institut itu nanti kita akan mengambil pakar semua bidang untuk bersama-sama mengkaji al-Quran agar kita semua dapat mendalami al-Quran dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Pengelola selaku Timbalan Pengerusi PGQBK Sahmat Meterang berkata, persatuan itu memerlukan sebidang tanah untuk menubuhkan pejabat dan pusat pengajian al-Quran di bandar raya ini.

Pada majlis itu Fadillah turut mengumumkan sumbangan MRP sebanyak RM30,000kepada PGQBK.

Turut hadir Pengerusi Syarikat Kumpulan Persela Datuk Abdillah Abdul Rahim, Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg, Penasihat Guru al-Quran Ustaz Ismawi Duet dan tetamu kehormat lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA