Usaha Selamat Budak Jatuh Perigi Buta


BEIJING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terjatuh ke dalam perigi sedalam 40 meter di wilayah Hebei ketika mengutip kobis bersama bapanya, menyebabkan operasi besar-besaran dilancarkan menggunakan 80 jentera penggali untuk menyelamatkannya.

Media China melaporkan, kanak-kanak itu, Zhao Zicong, jatuh ke dalam perigi berkenaan sekitar jam 11 pagi (waktu tempatan), Ahad lalu di Zhongmengchang dan seselepas 50 jam semalam, dia masih lagi belum dapat diselamatkan.

Kira-kira 80 jentera penggali digunakan tanpa henti di tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak itu.

Perigi buta yang cuma selebar 30 sentimeter itu yang terbiar sejak lima tahun lalu terletak berhampiran kediaman mereka dan digunakan untuk mengairi ladang berhampiran.

Pihak berkuasa mengerahkan polis, bomba, paramedik dan sukarelawan ke tempat kejadian selepas keluarga Zhao meminta bantuan menyelamatkannya.

Jentera penggali digunakan untuk mengalihkan tanah di keliling perigi berkenaan dan anggota penyelamat turut meletakkan tiub besi di sekitarnya untuk memastikan kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat penggunaan jentera terbabit. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA