Urusan Bawa Pulang Jenazah Pendaki Sedang Diusahakan

KUALA LUMPUR – Urusan membawa pulang jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, pendaki warga Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran, sedang diusahakan.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata pihaknya akan ke Amol bagi mendapat pelepasan pihak berkuasa Iran untuk membawa jenazah Syed Redzuan, 50, ke ibu negara Iran, Tehran, sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

“Perkara ini akan diusahakan dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Iran,” katanya kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp. Beliau berada di Reyneh, kira-kira 86km dari bandar Amol.

Terletak di utara Iran, Amol berada kira-kira 180km perjalanan darat dari Tehran. Gunung Damavand, gunung tertinggi di Timur Tengah, terletak di selatan Amol.

Semalam, jasad Syed Redzuan ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di Yakhar Glacier di kawasan pergunungan bersalji itu.

Syed Redzuan dan Ramli Abd Majid, 44, dilaporkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November lepas setelah terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Rozaimi seterusnya berkata pihaknya dimaklumkan bahawa tiada usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan untuk menjejaki Ramli hari ini atas faktor cuaca.

“Pihak SAR tidak memaklumkan tempoh masa tetapi berkata akan menyambung semula usaha mereka apabila cuaca semakin baik, dan ini boleh dilakukan tanpa perlu menunggu perubahan musim seterusnya,” katanya.

Beliau memohon rakyat Malaysia terus berdoa supaya Ramli segera ditemui dalam keadaan selamat dan disatukan dengan keluarganya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar berkata jenazah Syed Redzuan telah dibawa ke sebuah rumah mayat di Amol, Wilayah Mazandaran, dan akan dipindahkan ke Tehran.

“Kedutaan Besar Malaysia sedang menghulurkan bantuan sewajarnya dalam mengendalikan jenazah dan dipindahkan dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata pihak kedutaan turut menyertai anggota keluarga pendaki ke Amol bagi membantu menyegerakan proses pengesahan selain memudahkan urusan dengan pihak berkuasa Iran. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA