UPSR 2016: 4,896 calon peroleh semua A


PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Jumlah pencapaian cemerlang itu adalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.

Selain itu seramai 8,345 calon atau 1.89 peratus memperoleh keputusan maksimum 1B; 35,752 calon atau 8.11 peratus memperoleh minimum 2B; 91,366 calon atau 20.73 peratus (minimum 1C).

Seramai 152,825 calon atau 34.67 peratus (minimum 1D), 137,262 calon atau 31.14 peratus (minimum 1E) manakala 9,519 calon atau 2.16 peratus mendapat semua E.

Gred Purata Nasional ialah 2.96.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pencapaian calon UPSR 2016 dilaporkan berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu tanpa membuat perbandingan dengan pencapaian calon tahun lalu.

"Calon peperiksaan UPSR tahun ini adalah kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) disamping membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana sebelum ini keputusan dibuat berdasarkan tiga gred iaitu A,B, C manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.

"Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan keputusan UPSR tahun ini kerana murid bukan sahaja dapat menjawab soalan aneka pilihan tapi mampu menjawab soalan terbuka yang memerlukan daya fikiran untuk menjawabnya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

DI WILAYAH PERSEKUTUAN, seramai 308 calon memperoleh A dalam UPSR di negeri ini dengan gred purata negeri 2.77.

DI SELANGOR, seramai 1,025 calon memperoleh A dalam semua subjek pada UPSR 2016 di Selangor dengan gred purata negeri (GPN) 2.85.

DI KEDAH, UPSR 2016 peringkat Kedah menyaksikan seramai 280 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan berkata, jumlah pencapaian cemerlang itu adalah 0.88 peratus daripada 31,976 calon yang menduduki peperiksaan itu September lalu.

DI PAHANG, seramai 296 daripada 23,351 calon yang menduduki UPSR 2016 di negeri ini memperoleh A dalam semua subjek yang diambil.

DI NEGERI SEMBILAN, seramai 247 orang atau 1.5 peratus daripada 16,839 calon UPSR di negeri ini, berjaya mendapat keputusan penuh 6A.

DI JOHOR, seramai 671 atau 1.25 peratus daripada 54,678 calon yang menduduki UPSR 2016 di negeri ini memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA