Ubah Wang Haram: Polis Thailand Beri Tempoh Sami Dhammachayo Serah Diri



BANGKOK: Sami kontroversi, Phra Dhammachayo diberi tempoh sehingga 30 November ini untuk menyerah diri bagi menghadapi tuduhan jenayah.

Polis memberi amaran akan melancarkan operasi untuk menangkapnya di kuilnya jika dia gagal berbuat demikian.

Pihak berkuasa juga berusaha untuk mengesahkan sama ada sami Kuil Wat Phra Dhammachayo itu masih berada di kuil itu walaupun sami lain berkata, dia masih di situ untuk menjalani rawatan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Thai, Srivara Ransibramanakul berkata, usaha sedang dilakukan untuk memujuk Phra menyerah diri bagi menjawab tuduhan terhadapnya.

Pihak berkuasa sudah berhubung dengan jawatan kuasa kuil yang terletak di Pathum Thani, kira-kira 50 kilometer ke utara Bangkok itu supaya mengatur penyerahan dirinya.

Srivara yakin Phra akan menyerah diri untuk membuktikan dia tidak bersalah.

Pejabat Peguam Negara mengumumkan keputusan untuk mendakwa Phra dan empat yang lain Rabu lalu atas beberapa tuduhan, termasuk pengubahan wang haram.

Jurucakap Phra, Ong-art Dhammanitta berkata, sami itu masih berada di kuil berkenaan dan tidak memiliki paspot.

Dia berkata demikian bagi mengulas khabar angin kononnya Phra sudah melarikan diri ke Australia.

Ketika ditanya sama ada pengikutnya akan membentuk ‘rantai’ manusia untuk menghalang penangkapan Phra, Ong-art berkata, ia bergantung kepada keadaan.

“Mereka mungkin berbuat demikian jika diprovokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Srivara juga berusaha menjejaki Phra sebelum dapat memohon waran gelidah kuil itu.

Menurutnya, pihaknya sudah bersedia menyediakan tenaga sokongan untuk membantu Jabatan Siasatan Khas menangkap Phra.- Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA