Tukang Rumah Dituduh Bunuh Bakal Abang Ipar

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bakal abang iparnya Oktober lepas.

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 29, dituduh membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di tempat letak kereta hadapan pejabat agama Kompleks Seri Iman pada 11.39 pagi, 16 Okt lepas.

Mohd Hafiz didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna oren mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Abdul Hayyi Salim tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Dis ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Md Zain.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA