Trump Bukan Asing, Najib Yakin Hubungan Dua Negara Tidak Terjejas


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak akan terjejas berikutan kemenangan Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Beliau berkata Presiden Amerika Syarikat itu sudah pastinya memerlukan kerjasama dengan Malaysia serta negara-negara lain dalam pelbagai bidang.

“Saya percaya beliau akan menggunakan kaedah yang boleh membantu Amerika Syarikat membina kerjasama dengan semua negara.

“Saya sendiri mengenali beliau secara peribadi, beliau bukanlah seorang yang asing bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Daya eUsahawan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Najib berkata keputusan pilhan raya yang boleh disifatkan di luar jangkaan tersebut membuktikan bahawa rakyat dan pengundi Amerika Syarikat menginginkan seorang presiden yang akan membangunkan ekonomi serta menyediakan pekerjaan yang memberi pendapatan atau ganjaran lebih baik.

“Sebagai usahawan dan hartawan yang berjaya, mereka (pengundi) mahu beri peluang kepada ahli politik yang bukan konvensional, bukanlah daripada mereka yang biasa dengan pengalaman di White House.

“Pengundi mahu mencuba sesuatu yang berlainan,” katanya.

Trump, calon daripada Parti Republikan, menewaskan lawannya daripada Parti Demokrat Hillary Clinton dalam saingan sengit pada pemilihan presiden pada hari Selasa dengan membuat kejutan besar selepas mengharungi apa yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai kempen yang pahit dan ada kalanya teruk.

Dalam pertandingan penuh mendebarkan sepanjang malam, Trump Berjaya mencatat kemenangan margin di banyak negeri amat penting termasuk Florida, Ohio dan North Carolina, dan malah berjaya merampas negeri yang sebelum ini cenderung kepada Demokrat seperti Pennsylvania dan Wisconsin.


- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA