TMJ Usik Baju Merah Dalam Video Parodi


Aksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam video parodi yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad menarik perhatian netizen.

Video berkenaan menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju merah melakukan demonstrasi gerak langkah silat yang sering dilakukan pergerakan Baju Merah dalam protesnya.

Seorang lelaki kelihatan yang berdiri di tengah-tengah kumpulan dalam kedudukan separa bulat dilihat menjerit sebelum seorang lelaki lain memukulnya menggunakan dua rotan.

Seorang lagi lelaki menghentaknya dari arah belakang menggunakan batu bata.

Video tersebut seterusnya memaparkan Tunku Mahkota Johor berbaju dan bertopi biru serta memakai cermin mata hitam dengan wajah yang bengis.

Beliau kemudiannya melepaskan beberapa tembakan menggunakan pistol sebelum berpaling ke arah kamera, sambil mengangkat bahu dan beredar.

Bagaimanapun, keterangan berhubung video yang dimuat naik memberi penjelasan bahawa Tunku Ismail tidak berpihak kepada baju merah atau baju kuning.

"Saya berada bersama Bangsa Johor yang melambangkan perpaduan. Kerana perpaduan adalah 'formula' untuk negara ini bergerak ke hadapan, bukan keganasan dan kebencian.

"Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang," katanya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA