Tiga Tidak Mengaku Salah Bunuh Kayong



MIRI: Tiga lelaki termasuk pembantu peribadi kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang masih diburu polis masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi semalam terhadap tuduhan membunuh pemimpin PKR Miri, Bill Kayong.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasar Raya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala dua lagi tertuduh iaitu Lie Chang Loon, 37, dari Taman Pin Fook dan Chin Wui Chung, 50, dari Lorong 5 Krokop di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah bersubahat dengan Lee Chee Kiang, 44, dan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat sama.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Fadzila Ishak dan dibantu TPR Musli Abdul Hamid turut mengemukakan saksi pendakwaan.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah ketiga-tiga tertuduh, beliau kemudian memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes dan pada masa sama memohon agar kes tiga tertuduh terbabit dibicarakan bersama.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Abdul Wahab membenarkan permohonan itu dan menetapkan 13 Disember depan untuk pengurusan kes, sementara perbicaraan dijangka akan bermula sekitar Januari depan.

Manakala ketiga-tiga tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA