Tiada Pelaburan Dituduh Kerajaan Gagal, Bawa Pelaburan Dikata Jual Negara Pula


KUALA LUMPUR: Lumrah politik pembangkang kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan sentiasa mengkritik apa jua tindakan kerajaan sungguhpun perkara tersebut membawa manfaat besar kepada negara.

Ujar Najib, cemuhan pembangkang terhadap kerajaan merupakan strategi pakatan berkenaan cuba untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) lantas menakluk pemerintahan di Putrajaya.

“Mudah saja… Kalau kita tak bawa masuk pelaburan dia kata kita gagal. Kalau kita bawa masuk pelaburan (ke dalam negara), dia kata kita gadai (negara).

“Jadi… Ini mainan politik. Bila masa bawa masuk pelaburan, jadi soal kedaulatan (pula timbul)," kata Najib sinis ketika di wawancara TV3 dalam rancangan Soal Jawab, Isnin malam.

Berkata lanjut, Malaysia selama ini membawa masuk pelbagai pelaburan asing dari Jepun, Amerika Syarikat serta Eropah tidak mendapat tentangan pembangkang dan kini apabila China membuat pelaburan besar dituduh kerajaan menjual negara.

"Ini pelaburan.. Bila ada pelaburan, ada penjanaan ekonomi. Bila ada penjanaan ekonomi, (maka) adalah peluang-peluang pekerjaan.

"Adalah pembinaan teknologi, adalah syarikat-syarikat yang boleh memperolehi kerja-kerja peringkat sub-kontrak, sampailah kepada kelas F dan sebagainya,” tegasnya sambil menyeru rakyat agar berfikir dengan bijak agar tidak termakan dakyah pembangkang.

Mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit, Najib menjelaskan kedudukan mata wang negara menunjukkan penurunan disebabkan oleh faktor di luar kawalan.

Katanya, kadar faedah di Amerika Syarikat dan dasar-dasar tertentu membawa pelbagai implikasi yang turut memberi impak kepada mata wang dunia termasuk Malaysia.

“Ada mata wang lain yang prestasinya lebih buruk daripada ringgit. Ada juga (mata wang) yang lebih baik. Kita duduk di tengah-tengah.

“Dan ini kalau kita tengok dari segi pelbagai mata wang, kita tidak menurun sangat, cuma dengan dolar Amerika. Jadi ini adalah kerana kesan luaran yang di luar kawalan kita,” katanya lagi. - Malaysian Digest

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA