Tiada Istilah Kerajaan Cari Duit Dengan Saman


SHAH ALAM:  Tiada istilah kerajaan mengumpul dana menerusi kadar bayaran saman yang dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan jalan raya.

Sebaliknya, kata Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, kaedah kompaun itu dikenakan bagi tujuan memberi pengajaran kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Tidak ada istilah sebegitu (kerajaan cari duit menerusi saman). Sejak dari 2013 kita telah memperkenalkan konsep bayar saman ‘bayar cepat, bayar kurang’.

“Bermakna, sesiapa sahaja yang menjelaskan saman dalam tempoh singkat akan membayar dengan kadar kompaun yang sedikit,” jelasnya kepada Sinar Online selepas Wacana Sinar Harian Siri ke-43: ‘Pusara di Jalan Raya: Sampai Bila?' di sini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai persepsi sesetengah masyarakat yang beranggapan kerajaan sengaja mengaut keuntungan menerusi saman oleh pengguna jalan raya.

“Fokus dan matlamat pihak polis adalah perubahan sikap masyarakat. Sedikit keperitan (bayar saman) akan mengubah sikap seseorang manusia itu,” katanya lagi.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA