Tiada Alasan Untuk Tidak Bertindak Terhadap Pemanasan Global


MARRAKESH: Malaysia mengingatkan bahawa negara-negara tidak mempunyai alasan untuk tidak bertindak atau bersikap berpuas hati terhadap ancaman pemanasan global dan mereka tidak mempunyai banyak masa seperti yang mereka fikirkan.

Ketika memberi ingatan itu di luar Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di bandaraya Maghribi ini yang bermula Selasa, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata mesyuarat di Marrakesh adalah bersejarah kerana negara-negara mula merencanakan bagaimana mereka akan menghentikan pemanasan global yang disebabkan oleh manusia.

Ketika berucap pada mesyuarat mengenai Pelan Tindakan Global bagi Diversifikasi Pertanian (GAPAD), Wan Junaidi berkata, kenaikan suhu global berpotensi menimbulkan bencana terutama untuk pertanian.

Beliau berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana dunia kurang mempunyai maklumat saintifik bagi tanaman dan sistem tanaman akan menyesuaikan dengan iklim yang tidak menentu pada masa depan.

"Kita berada di tengah-tengah era kritikal. Planet ini mengalami pemanasan pada kadar yang belum pernah dialami dalam tempoh 1,000 tahun yang lalu.

"Tahun ini dikatakan paling panas dengan beberapa bulan berturut-turut bahang panas memecah rekod. Menurut NASA, purata suhu dalam tempoh enam bulan pertama 2016 ialah 1.3 darjah sentrigred lebih panas daripada akhir abad ke-19," katanya.

Wan Junaidi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu, berkata kepekatan karbon dioksida di atmosfera telah mencapai paras tinggi melebihi setengah juta tahun dan berlaku pada kadar yang luar biasa cepat.

"Tugas yang hendak dipikul adalah terlalu kompleks, terlalu mendesak dan terlalu besar bagi hanya sebuah negara sahaja menanganinya. Hanya dengan bekerjasama kita dapat mencapai pembangunan mapan dan matlamat berhubung dengan iklim.

Katanya mendepani cabaran ini memerlukan pemikiran baharu dan inovatif, penyelidikan yang cemerlang dan kepimpinan yang efektif serta kepimpinan proaktif yang kuat untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pertanian di peringkat global.

Dalam hubungan ini, Wan Junaidi menarik perhatian kepada satu daripada inisiatif iaitu inisiatif Tanaman Untuk Masa Depan (CFF) yang dihoskan oleh Malaysia.

CFF adalah satu-satunya pusat dan pertama di dunia yang khusus untuk diversifikasi pertanian menggunakan tanaman yang kurang digunakan dan sistem tanaman.

Untuk mencapai kejayaan, beliau berkata, GAPAD perlu melibatkan penyertaan negara, bersifat terbuka dan inklusif dan gabungan kepimpinan komuniti antarabangsa dengan pelbagai sumber, bakat dan kebolehan yang lebih luas juga penting untuk menyokong usaha ke arah itu.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA