TH peruntuk RM2 juta program Iqra 2016



KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM2 juta untuk program Iqra TH 2016 bagi membantu pelajar-pelajar asnaf dan kurang berkemampuan dalam membuat persiapan untuk sesi persekolahan 2017.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat TH bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan.

"Menerusi sumbangan ini juga, ia diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus berdaya maju dalam pelajaran," katanya ketika melancarkan Program Iqra anjuran TH di Dewan Darul Kifayah, Batu Caves sebentar tadi.

Jamil berharap sumbangan wang zakat tersebut dapat menjadi pendorong serta pembakar semangat kepada seterusnya dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi diri serta keluarga pada masa hadapan.

"Di bawah program Iqra untuk tahun ini, TH mensasarkan agihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta bagi 4,000 orang pelajar asnaf terpilih di seluruh negara," ujarnya.

Pada majlis tersebut, setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang yang berupa kelengkapan persekolahan bernilai RM200 dan wang tunai bernilai RM300. - K! ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA