Tertuduh Utama Direman Di Penjara Sibu


MUKAH: Tertuduh utama kes bunuh di Hulu Sungai Arip, Balingian, Mukah diarah oleh Mahkamah Majistret di sini direman sehingga kes disebut semula pada 24 November ini.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, tertuduh Galang Imbang, 54, dihantar ke Sibu untuk reman sehingga kes disebut semula pada tarikh dinyatakan di mahkamah sama.

Galang menghadapi pertuduhan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, satu pertuduhan yang tidak membenarkan ikat jamin.

“Tertuduh direman di Penjara Sibu sehingga kes selesai,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Sementara itu, sembilan lagi dilepaskan hanya dengan jaminan polis yang sebelumnya ditahan selepas tempoh reman tamat semalam di bawah Seksyen 117 Kod Prosedur Jenayah.

“Tiga lagi suspek turut dibebaskan dengan jaminan mahkamah dan penjamin tempatan,” katanya.

Ketiga-tiganya adalah Lasa Lusau yang dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi dijamin mahkamah RM10,000 dan deposit tetap RM3,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.

Kedua, Kusau Bugek dituduh bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi dijamin RM10,000 oleh mahkamah dan deposit tetap RM3,000 dengan tiga penjamin tempatan.

Ketiga, Kasi Dennis dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan turut dijamin mahkamah RM10,000 deposit tetap RM3,000 dengan tiga penjamin tempatan.

Ia dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Sebutan kes ke atas semua tertuduh adalah pada 24 November ini di mahkamah sama.

Semua tertuduh diwakili peguam Abun Sui.

Sementara itu, sembilan lagi suspek kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibebas dengan jaminan polis pada Ahad (6 November) lalu.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA