Terlalu Awal Buat Kesimpulan Kesan Dasar Baharu Trump Pada Malaysia - Najib



PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kesan dasar baharu bakal Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Menurut beliau, Trump mungkin sudah menyedari sekarang bahawa ada sesetengah kenyataan atau rancangan ketika kempen politiknya sebelum ini tidak boleh direalisasikan kerana sekiranya dilaksanakan juga boleh menimbulkan kebimbangan dan reaksi negatif dalam kalangan pihak lain.

"Saya lihat realitinya bahawa presiden yang baru dipilih ini sudah sedar bahawa bukan semua kenyataan yang dibuat semasa kempen itu mampu dilaksanakan. Itu realiti.

"Jadi, beliau sekarang ini dalam proses memikir apa sebenarnya yang beliau akan lakukan bila beliau ambil alih (jawatan presiden) pada bulan satu (Januari) tahun hadapan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada Program Sesi Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, hari ini.

Justeru itu, katanya, meskipun keadaan ekonomi kini dalam keadaan tidak menentu, masyarakat global tidak seharusnya membuat kesimpulan awal tentang apa yang akan berlaku sebaliknya menunggu sehingga Trump memulakan tugasnya secara rasmi sebagai presiden Januari ini.

Najib turut menambah perkembangan politik merupakan suatu proses demokrasi yang biasa dan sentiasa berlaku di mana-mana negara, bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di Eropah.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA