Taman Negara Terus Menjadi Destinasi Pilihan


KUCHING: Taman negara terus menjadi destinasi pilihan bagi alam semula jadi dan pengembaraan antara kedua-dua pelancong domestik dan antarabangsa sehingga menjana hasil RM4.53 juta iaitu meningkat sebanyak 13 peratus pada 2016.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dari Januari hingga September tahun ini jumlah pelawat yang berkunjung ke taman-taman negara di Sarawak mencatat 423,333 orang iaitu peningkatan sebanyak 9.27 peratus.

“Daripada jumlah pelawat itu 80 peratus adalah domestik dan 20 peratus adalah antarabangsa.

“Taman Negara Mulu, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako, Taman Tanah Bencah Kuching, Taman Negara Niah dan Pusat Hidupan Liar Matang adalah antara yang paling banyak dilawati pelancong kerana keunikan geo-sistem dan pemuliharaan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada Persidangan DUN di sini semalam.

Tambahnya, sebagai permulaan beberapa taman negara dan hutan simpan semula jadi di Sarawak akan dinaik taraf kemudahannya dengan akan diberika wajah baharu yang menggabungkan pelbagai kemudahan mesra pelancong mulai tahun depan.

Antaranya, Taman Negara Bako, Semenggok, Tanah Bencah Kuching, Gua Angin dan Gua Pari-Pari (Fairy Cave) serta Gua Niah.

“Kerja-kerja menaik taraf dilakukan termasuk pembaikan dan penggantian jeti, papan berjalan kaki dan denai, papan tanda, tempat letak kereta, tandas, pusat maklumat dan kedai cenderamata.

“Penswastaan beberapa perkhidmatan pelancongan juga akan dijalankan dalam usaha meningkatkan kualiti dan standard,” katanya.

Beliau mendedahkan selain itu program inap desa atau homestay juga kini semakin popular dengan peningkatan keupayaan serta kepelbagaian produk selari dengan strategi ekopelancongan berasaskan komuniti (CBET).

Katanya jumlah pengusaha inap desa telah meningkat dari tahun ke tahun di mana 35 inap desa dengan 515 pengusaha sehingga kini telah mendaftar di bawah program berkenaan di mana ada juga yang sedang menjalani latihan serta program kesedaran.

“Setakat September 2016, sejumlah 23,292 pelancong melawat homestay yang menjana hasil RM3 juta kepada penduduk tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata industri pelancongan Sarawak dijangka menerima perolehan pelancongan RM10.18 bilion atau peningkatan 3.1 peratus dengan menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada 2016.

Sementara pada 2017, kementerian menyasarkan lima juta ketibaan pelancong dan RM10.68 bilion hasil daripada pelancongan.

“Pada Januari hingga Oktober tahun ini, Sarawak menerima lebih 3.8 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 1.02 peratus berbanding tempoh sama tahun 2015 iaitu 3.74 juta. Ia menjana penerimaan pelancongan RM7.5 bilion.

“Berdasarkan purata ketibaan lepas, bagi November dan Disember, kementerian saya menjangkakan 4.7 juta ketibaan pelancong ke Sarawak pada 2016, iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding 4.5 juta pada 2015,” tegasnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA