Tak Reti Bahasa, Peniaga Naikkan Minyak Masak Bersubsidi


LIMBANG: Masih terdapat segelintir peniaga yang tak reti bahasa dan secara terang-terangan cuba menipu rakyat dengan mengaut keuntungan apabila sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi RM2.50 kepada RM2.80 hingga mencecah RM3.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu terbongkar dalam operasi mengejut yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Limbang ke atas tiga kedai runcit utama di daerah ini.

Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Limbang Zakaria Awang berkata, perbuatan itu jelas melanggar arahan yang ditetapkan pihaknya selepas pengumuman penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak, di mana minyak masak peket 1kg kekal berharga RM2.50, manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran mulai 1 November.

Jelasnya, kesalahan itu dikesan kakitangannya termasuk Pegawai Pemantau Harga yang melakukan pemeriksaan harga secara rutin di beberapa kedai di sini setiap hari.

“Perbuatan menaikkan harga minyak masak peket RM2.50 dari RM2.80 hingga RM3 dilihat secara terang-terangan cuba menipu rakyat, meskipun arahan sudah dikeluarkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media ketika mengadakan pemeriksaan mengejut itu.

Tegas Zakaria, selain menaikkan harga minyak peket, terdapat juga kesalahan lain yang dikesan pihaknya.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak meletakkan harga minyak masak peket RM2.50 seperti yang disyorkan serta tidak mengemukakan resit pembayaran untuk minyak masak peket RM2.50.

“Jelasnya, taktik peruncit tidak mengeluarkan resit bayaran bagi mengelak aduan daripada pengguna merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” jelasnya.

Hasil pemeriksaan semalam, katanya, sebanyak tiga notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 diserahkan kepada tiga peruncit di bandar ini yang menaikkan harga minyak peket 1kg yang sepatutnya dijual pada harga RM2.50.

“Kita memberi tempoh selama tujuh hari kepada peruncit untuk memberi tunjuk sebab mengenai kenaikan harga minyak tersebut,” katanya.

Tambahnya, sekiranya alasan yang diberi tidak munasabah, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, seorang pengguna Adriana, 36, ketika ditemui berasa terkejut sebaik mendapati harga minyak masak peket dijual pada harga RM3 ketika melakukan pembelian di sebuah kedai di sini.

“Saya berasa terkejut sebaik diberitahu pemilik kedai terbabit harga minyak masak subsidi 1kg itu dijual pada harga RM3, sedangkan harga asal RM2.50 sudah terang-terang diletak di luar bungkusan minyak masak berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, perbuatan itu amat mengejutkan kerana masih terdapat peniaga yang degil dan enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Kita bimbang tindakan tidak bertanggungjawab ini akan menyebabkan rakyat menderita kerana berdepan kenaikan harga barang yang tidak munasabah,” katanya lagi.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA