Tak mengaku salah menyamar Sultan Melaka


AYER KEROH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah, tiga tahun lalu.

Noor Jan Tuah, 59, dari Taman Seri Gombak, Selangor membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan empat kertas pertuduhan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat itu, tertuduh didakwa menipu empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun dengan jalan samaran supaya mangsa mempercayai tertuduh sebagai Sultan Melaka dengan membuat majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai Sultan Melaka, sedangkan ia bukan identiti sebenar tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Zaamat Md Idris, Mokhtar Md Yusof, Ahmad Zainudin Abdul Hamid dan Hazizi Ikhwan Zaamat di A'Famosa Resort Melaka, kira-kira jam 10 malam, pada 28 Disember 2013.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Chee Thim dan Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam bela Surjan Singh Sidhu dan pelatih dalam kamar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 21 Disember ini sebagai sebutan semula kes.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA