Tahan Sakit Sejam, Kaki Kanak-Kanak 'Masuk' Lubang Tandas


KAMUNTING: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas kaki kirinya tercelus ke dalam lubang tandas di rumahnya di Desa Murni, Taman Desa Murni di sini sebentar tadi.

Sebelum kejadian, mangsa, Adam Fahizi Mohd. Husni,8, dipercayai memasuki bilik air untuk membuang air besar namun di­sebabkan lantai licin, dia tergelincir lalu terjatuh ke dalam lubang tandas tersebut.

Menurut Ketua Balai Bomba Kamunting, Mohd. Taufik Abd. Sattar, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.41 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama enam orang anggota.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sedang menangis sambil menahan kesakitan kerana kaki kirinya tercelus dalam lubang tandas hingga ke paras pergelangan kaki.

“Kami mengambil masa sekitar 30 minit untuk memecahkan mangkuk tandas sebelum dapat mengeluarkan kakinya. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Jelasnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 9 malam. K! ONLINE


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA