Syarikat Jepun Terus Melabur Di Malaysia



KUALA LUMPUR: Syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia bukan sahaja dijangka terus melabur semula di sini tetapi turut menjadikan negara ini sebagai asas untuk menjalankan operasi di peringkat serantau dan global.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata agensi itu akan bekerjasama rapat dengan rakannya dari Jepun dalam menggalakkan hubungan perniagaan kepada perniagaan antara Jepun dan Malaysia.

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, MIDA meluluskan 36 projek pembuatan dari Jepun dengan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion dan ia dijangka mewujudkan tambahan 1,280 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Sebanyak 86 peratus daripada pelaburan ini adalah daripada aktiviti pengembangan dan kepelbagaian syarikat Jepun sedia ada yang beroperasi di negara ini.

"Antara syarikat itu ialah Rohm-Wako Electronic, Nippon Electric Glass, Cosmo Scientex dan Polyplastics Asia Pacific," menurut MIDA dalam kenyataan selepas sesi dialog antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Kedutaan Jepun, Dewan Perdagangan dan Industri Jepun di Malaysia dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun di sini hari ini.

Antara isu yang dibincangkan pada dialog tersebut ialah prosedur dan peraturan mengenai perdagangan dan pelaburan serta status rundingan terkini Malaysia mengenai perjanjian perdagangan bebas.

Sementara itu, Jepun terus kekal sebagai sumber utama Malaysia bagi pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan sejak 1980.

Pada 2015, sejumlah 2,602 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat Jepun dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak RM85.0 bilion dan menjana 342,837 peluang pekerjaan.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA