Supermoon Paling Besar


KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan Supermoon atau nama saintifiknya ‘Lunar Pedigee’ iaitu kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi pada Isnin depan.

Lebih menarik, fenomena kali ini adalah terbesar dan berada pada jarak yang paling dekat dengan planet Bumi sejak 68 tahun lalu.

Bahagian Unit Penyelidikan Sains Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Zahira Mohd Radzi berkata, jangkaan itu dikenal pasti melalui kaedah Trigonometri (pengiraan Matematik) yang digunakan sejak dulu lagi.

“Kita menggunakan kaedah matematik dan statistik sehingga kini serta ia masih diguna pakai oleh pakar astronomi lain bagi menentukan jarak sesuatu objek. Selain itu, semakan turut dibuat dengan menggunakan perisian astronomi terkini.

“Orang ramai juga boleh menggunakan perisian yang dinamakan Moon Calculator yang mana boleh digunakan untuk mendapatkan jarak bulan dan fasa bulan serta maklumat penuh mengenai bulan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan fenomena itu mendatangkan kesan tarikan graviti yang lebih kuat ekoran jajaran antara bumi dan bulan yang dekat namun ia tidak mencetuskan bencana besar.

“Kejadian pasang surut laut adalah disebabkan oleh tarikan graviti bulan, kedudukan bumi dan matahari.

“Namun kejadian Supermoon bukan faktor yang menyebabkan bencana seperti yang sudah mula diviralkan di laman sosial berhubung fenomena ini,” katanya.

Terdahulu, ANGKASA dalam satu kenyataan di sini berkata walaupun fenomena ini pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015, kejadian kali ini adalah Supermoon terbesar.

“Orang ramai perlu mengambil kesempatan menyaksikannya kerana ia dijangka berlaku 18 tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, fenomena Supermoon pada Isnin depan akan berlaku pada jam 7.24 malam dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada jam 9.45 malam.

“Keadaan bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama menyebabkan bulan kelihatan seolah-olah lebih besar daripada kebiasaan. Bagaimanapun, saiz fizikal bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali,” katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter ANGKASA untuk mendapatkan maklumat lanjut serta dialu-alukan untuk berkongsi imej berkaitan Supermoon.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA