Sultan Johor Kecewa Tindakan Pemimpin Dahulu

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kecewa dengan pemimpin dahulu yang telah meminda Perlembagaan negara untuk kepentingan diri.

Baginda mengibaratkan pemimpin berkenaan seperti “kacang lupakan kulit” kerana pemimpin yang telah diberi kuasa menjadi semakin tamak dan inginkan kuasa lebih besar sehingga sanggup menghapuskan hak orang yang memberinya kuasa dahulu.

Baginda turut menegur seorang bekas pemimpin negara yang terkenal di dunia yang turut menyertai demonstrasi jalanan.

“Di negeri Johor, saya tidak akan benarkan mana-mana pihak menganjurkan demonstrasi jalanan kerana ia akan mengganggu ketenteraman awam dan memberikan imej yang tidak baik.

“Oleh itu, saya ingatkan kepada semua NGO di Johor dan semua bangsa Johor supaya jangan mengikut budaya yang sesat ini,” titah baginda kepada kira-kira 3,000 hadirin yang menghadiri Majlis Himpunan Bangsa Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah jika tidak berpuas hati dengan kerajaan, perasaan itu boleh disalurkan melalui wakil rakyat yang dipilih.

Baginda menjelaskan demonstrasi jalanan yang menyaksikan rakyat berkumpul di tempat awam sambil membawa sepanduk dan melakukan aksi menghina pemimpin atau individu, bukanlah tabiat orang Malaysia, malah hanya akan menimbulkan kebencian dan perpecahan masyarakat.

Justeru itu, baginda tidak faham mengapa masyarakat di negara ini terikut-ikut dengan cara orang luar yang menghasut untuk menjatuhkan kerajaan.

“Tidak kira di mana kita berada, kita mestilah hormat kepada undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh pihak berkuasa. Suka saya ingatkan supaya setiap rakyat mengambil tahu dan mematuhi undang-undang yang telah dibuat, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

“Sekiranya, ada perasaan tidak puas hati dengan keputusan atau dasar kerajaan, ambillah tindakan mengikut saluran yang betul,” titah baginda.

Baginda turut bimbang akan ‘virus’ perpecahan yang dibawa parti politik baharu dan anggota-anggotanya kini.

Titah baginda, apabila masyarakat sudah dijangkiti virus itu, adalah sukar untuk mengubati mereka kerana rakyat telah dihasut untuk membenci kerajaan, dengan tidak mempedulikan kebaikan-kebaikan yang dibuat kerajaan. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA