Sudah Setahun Kucing Ini Tinggal Di Kubur Tuannya


SUNGGUH menyentuh hati. Kisah ini mengenai seekor kucing di Jawa Tengah, Indonesia yang setia terhadapnya tuannya, sehinggakan sanggup ‘tinggal’ di atas kubur wanita itu sejak setahun lalu.

Bahkan, haiwan mamalia kesayangan Rasulullah SAW ini dikatakan akan kembali pulang ke kubur tersebut meskipun ada yang bersimpati telah mengambilnya balik ke rumah untuk dijaga dan diberi makan.

Kisah kasih sayang kucing bercorak belang itu mendapat perhatian dunia selepas seorang penduduk, Keli Keningau Prayitno, 28, memuat naik gambar-gambar si comel itu yang sedang baring di atas kubur pemiliknya.

“Semenjak (pemiliknya) meninggal dunia, kuburan adalah rumahnya… saya mahu bawanya pulang tapi ia enggak mahu,” tulis Keli di laman Facebook.

Aksi kucing tersebut yang setia menunggu di atas pusara tuannya itu sekali gus menjadi viral hingga dikongsi lebih 11,190 netizen di seluruh dunia.

Menerusi gambar yang dimuat naik, batu nisan pada kubur itu tertera nama seorang wanita bernama Kundari.

Bercakap kepada Daily Mail, Keli memberitahu, dia pernah cuba bawa kucing itu pulang ke rumahnya, namun kucing itu kembali ke kubur tuannya dan akan menggesel-geselkan kepalanya ke atas batu nisan kubur tersebut.

“Kucing itu tidak mahu pulang. Ia sudah ada di sana hampir setahun. Mulanya saya fikir ia tidak mempunyai tempat tinggal dan saya cuba membantunya, namun ia akan tetap kembali ke tempat yang sama.

“Ia amat menyayat hati. Ia menunjukkan betapa rapatnya haiwan peliharaan dengan pemilik mereka,” katanya.

Difahamkan, setiap hari kucing itu akan kembali ke rumah tuannya, di mana dia akan diberi makanan oleh anak-anak tuannya sebelum haiwan tersebut kembali semula ke kubur wanita berkenaan.

Kisah ini turut mengingatkan kembali cerita anjing popular bernama Hachiko di Jepun, di mana ia setia menunggu tuannya di stesen kereta api selama sembilan tahun meskipun tuannya sudah lama meninggal dunia. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA