SOP Operator Loji Air Perlu Dikaji Semula


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyarankan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi operator loji air dikaji semula untuk mengenal pasti jenis bau yang membolehkan mereka menutup operasi loji.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan itu bagi memastikan penutupan loji air itu tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

“Setakat ini, hanya Pengurusan Air Selangor yang memantau parameter bau, sedangkan parameter bau tidak dikehendaki untuk dipantau dalam bekalan air mentah oleh Kementerian Kesihatan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga tidak mempunyai parameter bau di bawah Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi air sungai,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Wan Junaidi mengulas isu pencemaran bau di Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan, yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih sekali gus menjejaskan 1.6 juta pengguna.

Katanya, kementerian dengan kerjasama pasukan bersepadu pelbagai agensi yang diwujudkan merangkumi JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu itu.

Ini termasuk pembaikan semula benteng yang pecah, dibina bagi menghalang aliran Sungai Buah yang disyaki tercemar ke Sungai Semenyih.

“Kerja pembaikan benteng pecah sedang dilakukan dan tiga lagi benteng akan dibina dan air akan dilepaskan melalui bukaan kecil di benteng pertama dan akan mengalir secara ‘melimpah’ melalui benteng seterusnya,” katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA