SKMM Sedia RM1 Bilion Perluas Liputan Jalur Lebar



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi memperluaskan liputan dan meningkatkan kualiti jalur lebar di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi.

"Bagi penambahbaikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan luar bandar, kerajaan fokus kepada menambahbaik liputan 3G melalui pembinaan menara komunikasi dan penaiktarafan menara sedia ada melalui program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi liputan jalur lebar mudah alih 4G, katanya, peluasan liputan sedang giat dilaksanakan dengan tumpuan di bandar-bandar utama, pertengahan dan kecil.

"Setakat ini, liputan populasi 4G ialah sebanyak 63 peratus dan usaha ini akan diperluaskan termasuk ke kawasan luar bandar secara berperingkat sehingga tahun 2020," katanya.

Berkenaan isu monopoli yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai), Salleh berkata isu itu tidak berbangkit kerana mana-mana pihak yang berkelayakan boleh memohon mendapatkan lesen untuk membekalkan perkhidmatan.

Mengenai isu projek jalur lebar berkelajuan tinggi, beliau berkata pelaksanaan penyediaan infrastruktur untuk jalur lebar negara telah masuk kepada Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB 2) dan dijangka siap tahun depan melibatkan 500,000 premis.

Selain daripada itu, katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP) yang dijangka siap pada tahun depan melibatkan tujuh sambungan kabel gentian fiber optik sepanjang 170km.

"Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) pula telah bermula pada tahun 2015 dan tempoh pelaksanaan projek ini adalah sehingga tahun 2019. Ia meliputi kawasan pinggir bandar yang telah dikenal pasti melibatkan pemasangan di sebanyak 252,000 premis di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, Salleh berkata SKMM telah melancarkan inisiatif bersama pihak Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) bagi menyediakan Aplikasi Kawalan Ibu-Bapa bagi membolehkan mereka memantau dan menyaring secara kawalan kendiri kandungan yang diakses oleh anak-anak mereka.

Mengenai isu pengawal seliaan aktiviti perjudian secara dalam talian, katanya, pihak ISP telah menyediakan sistem tapisan bagi menyekat penghantaran SMS yang mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian.

"Ini dapat dilihat dengan pengurangan aduan yang diterima oleh SKMM daripada 194 aduan pada bulan Mac kepada 40 aduan pada bulan September lepas," katanya. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA