Siti Saleha Sah Tunangan Lutfi Setelah Setahun Berkenalan



TAHNIAH diucapkan kepada pelakon jelita, Siti Saleha Baharom, yang kini sah bergelar tunangan kepada lelaki pilihan hatinya, Lutfi Azhar, pada pagi Sabtu.

Majlis pertunangan pelakon ini dilakukan secara tertutup di kediaman keluarganya di Bandar Puteri, Klang, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pada majlis itu, Siti Saleha, 26, menerima lima dulang hantaran, berbalas lima dulang dari pihak Lutfi.

Menurut Siti Saleha, Lutfi, 30, melamarnya ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan teman baiknya di Cancun, Mexico, Julai lalu.

“Saya mahukan majlis pertunangan yang ringkas dan tertutup. Disebabkan itulah, saya hanya mengundang ahli keluarga dan kenalan rapat saja.

“Bukan mahu menyorok hari bahagia, tetapi ini hanya majlis pertunangan. Saya mahukan ruang peribadi untuk keluarga,” katanya.

Mengimbas kembali percintaan mereka , Siti Saleha memberitahu mereka menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lebih lalu.

“Sebelum ini, saya hanya dengar namanya melalui teman selama dua tahun. Apabila diperkenalkan, bermula sebagai kenalan biasa, lama-kelamaan apabila kerap bertemu, hubungan kami mulai rapat.

“Sejurus selepas dilamar, rombongan lelaki menyusul datang merisik. Hari ini, kami bertunang pula. InsyaAllah, kami akan melangsungkan perkahwinan tahun depan,” katanya kepada BH Online.

Difahamkan, Lutfi merupakan seorang pegawai kerajaan. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA