Sistem Pemberian Kontrak Selenggara Jalan Ditambah Baik



KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menambah baik sistem penganugerahan kontrak menyelenggara jalan kepada syarikat-syarikat konsesi, yang kontrak berkenaan hanya diberi berdasarkan prestasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penambahbaikan itu merangkumi pembinaan pangkalan data, yang akan menjadi rujukan kepada kementerian sebelum memberi kontrak kepada syarikat konsesi.

"Pada masa ini, syarikat konsesi melaksanakan penyelenggaraan jalan secara rutin, berkala dan secara kecemasan...ia bergantung kepada keadaan yang kemudian diaudit untuk tujuan pembayaran.

"Untuk akan datang, semua yang berhubung kait dengan penyelenggaraan jalan adalah berasaskan kepada kontrak berdasarkan prestasi maknanya, kita akan nilai dan audit semua keadaan jalan, keadaan perparitan dan keadaan sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata selepas ini, semua prestasi syarikat konsesi akan dinilai dan diaudit secara terperinci sebelum maklumat itu disimpan dalam pangkalan data berkenaan.

"Inilah peralihan yang sedang kita lakukan, Insya-Allah apabila kontrak baru diberikan, ia mestilah berasaskan kontrak berdasarkan prestasi," katanya.

Persidangan dewan bersambung hari ini. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA